LANGKAH PENCEGAHAN GEJALA SOSIAL
GEJALA sosial ditakrifkan sebagai perlakuan negatif anggota masyarakat yang tidak membawa sokongan dan keuntungan kepada kekuatan sistem dan struktur ekonomi yang diamalkan dalam sesuatu masyarakat ataupun negara.
Berkongsi pendapat, Ikon Guru Daerah Miri 2017 Ustaz Roshaidin Othman berkata, gejala merangkumi kesalahan etika dan moral seseorang sama ada di peringkat usia muda ataupun dewasa. Namun fokus diberikan kepada golongan muda kerana mereka pewaris kepimpinan masa akan datang.
“Cegah sebelum parah. Inilah kata-kata yang sesuai untuk menggambarkan betapa pentingnya mengawal gejala sosial ketika ini, termasuk di Miri,” tegasnya.
MUDAH TERDEDAH
Amalan cara hidup moden sekarang semestinya memberi kesan kepada semua peringkat masyarakat termasuk pelajar.
Golongan ini mudah terdedah dengan anasir-anasir yang menyusup masuk dalam kehidupan seharian mereka terutama melalui penggunaan telefon pintar dan Internet tanpa kawalan.
Sebahagian mereka akan menghabiskan masa bermain permainan dalam talian dan mengakses paparan negatif di telefon.
Keadaan ini seterusnya membawa kepada wujudnya masalah yang lain iaitu pergaulan bebas dan gejala sosial yang lain.
Lebih teruk lagi, ketagihan penggunaan telefon bimbit telah membawa remaja ini kepada masalah membawa telefon ke sekolah tanpa disedari guru.
“Mereka bertindak berkongsi video lucah sesama rakan sama ada dalam kelas ataupun bilik khas, berswafoto secara berleluasa sekitar kawasan sekolah semasa sesi persekolahan walaupun ketika guru sedang mengajar, malah berkomunikasi dengan rakan dan orang luar menggunakan talian WhatsApp, Wechat, Facebook dan sebagainya ketika di sekolah,” katanya lagi.
Roshaidin berkata, semua ini memberi ruang kepada penularan unsur negatif dalam kawasan sekolah menyebabkan pelajar kurang fokus untuk menuntut ilmu.
#NUR’IZZAH’IZZATI
No comments:
Post a Comment